Sunday, October 02, 2011

Mengikat Pertunangan Dalam Kesederhanaan

towerbridge.jpg
“Kasihan Ziad tu mak. Dah pening-pening tu, nak kahwin sangat nampaknya”, saya berbual dengan emak.
Jam sudah lewat 12 malam di kota London. Emak tentu sahaja baru lepas bersarapan pagi di rumah.
“Ye la, dah sampai masanya. Habis kamu pula macam mana?”, tanya emak.
YESS! Umpan saya mengena.

Saya memang telah awal-awal meminta izin daripada sepupu saya untuk ‘memperalatkannya’ bagi membuka bicara kepada emak tentang hasrat hati saya untuk berumahtangga. Strategi saya berhasil apabila emak bertanya begitu.
“Aha, ada la emak. Insya Allah sampai Malaysia nanti Rizal cerita ya”, saya memberitahu.
Tidak mudah untuk seorang anak bongsu seperti saya memberanikan diri untuk memberitahu emak tentang hasrat hati untuk berumahtangga. Anak bongsu, biar pun sudah berjanggut sekali pun, masih anak bongsu buat seorang emak.
Alhamdulillah, daripada reaksi emak tadi, saya faham yang emak terbuka dengan hal ini. Usia saya pun sudah mencecah 24 tahun ketika itu.

Tetapi, apa yang lebih penting untuk saya fikirkan ialah perasaan seorang ibu melepaskan anaknya. Fikiran saya melayang mengimbau hari pertama saya berpisah dengan emak. Mendaftarkan diri sebagai pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah berasrama penuh, adalah titik penting yang menjadikan saya terlepas ke dunia lain, tidak lagi di bawah jagaan emak dan abah. Seawal usia 12 tahun, saya sudah mula berdikari.
Pengajian di SMA Izzuddin Shah tidaklah terlalu menjadikan saya jauh dari emak dan abah. Sekolah hanya setengah jam perjalanan dari rumah. Dan saya juga sering balik ke kampung tanpa perlu menunggu cuti sekolah yang panjang. Begitu juga semasa di SMAP Labu, Negeri Sembilan. Mujurlah saya tidak lama di sana. Selepas kira-kira empat bulan di Tingkatan 4 di sana, saya kembali semula ke SMA Izzuddin Shah hingga selesai SPM.

Perpisahan yang hakiki berlaku antara saya dan abah, apabila kejadian yang tidak disangka-sangka menduga saya sekeluarga. Abah kembali ke rahmatullah pada tahun 1992 dan perginya tidak kembali. Ketika itu, hanya salah seorang sahaja daripada abang saya yang baru bertunang. Belum pun sempat abah menyambut menantu pertamanya, Allah memanggil abah pulang.
Ketika kubur abah pun masih merah, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan. Keputusan yang amat berat untuk dilakukan. Meninggalkan emak di kampung halaman yang masih belum berupaya menyesuaikan diri dengan kehilangan suaminya. Emak melepaskan saya dengan derai air mata di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, pada 15 September 1993.
scan0018j.jpg
Selepas lama merantau, bersambung pula ke UK, tentu sahaja emak akan terasa bagai kehilangan anaknya ketika saya memberitahu hasrat hati untuk berumahtangga. Saya menyimpan misi untuk mententeramkan hati emak sebaik tiba di Malaysia dari kota London.


DI MALAYSIA
“Tak adakah gambarnya?”, tanya emak kepada saya.
“Emm.. tak sampai lagi emak. Muna kata dia akan pos dalam sehari dua ni dari Ireland. Insya Allah sebelum Rizal balik ke UK, adalah gamaknya”, saya memberitahu.
Saya lihat wajah emak bercampur antara suka dan gelisah.
“Alhamdulillah emak, kampung dia pun dekat sahaja. Seberang sungai sana aje, di Manjoi. Tak risaulah sangat terpaksa jauh ke mana-mana”, saya cuba meyakinkan emak.
“Emak bukan tak setuju, tapi rasa macam tak puas lagi emak membesarkan kamu. Dah nak jadi suami orang!”, kata emak.
“Rizal faham. Insya Allah emak tidak akan kehilangan Rizal malah menambah ahli keluarga kita sebenarnya. Insya Allah”, saya memujuk emak.
Naluri biasa seorang ibu. Titis air matanya bukan titis duka, tetapi titis yang datang dari perasaan tersedar bahawa anak bongsunya sudah dewasa.


BERTUNANG
Saya bersembunyi di dalam kereta.
Adat Melayu tidak mengizinkan orang yang bertunang hadir sama dalam majlis meminang. Entah apa yang nak mereka umpatkan.
pinang.jpg
“Depa berpantun-pantun pula”, kata sepupu saya Ziad yang berada di dalam majlis, melalui sms.
Selesai majlis bertunang, saya dipanggil masuk. Ini memandangkan keadaan kami berdua yang tinggal di luar negara. Maka di dalam majlis ini sahajalah peluang untuk kami berdua ditemui oleh kedua-dua keluarga.
Tempoh pertunangan selama 2 tahun telah ditetapkan. Insya Allah kami akan melangsungkan perkahwinan pada tahun 2001. Saya dan bakal isteri, berusia 26 tahun ketika itu nanti.


CABARAN BERTUNANG
Selama dua tahun tempoh kami bertunang, pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuh. Namun jarak yang memisahkan saya dan bakal isteri, sedikit sebanyak membantu kami untuk bersederhana dalam berhubung.
“Ahlan wa sahlan ustaz”, kata Yurzi dan Nik Azuan semasa menyambut saya di stesyen bas Galway.
“Terima kasih sudi jemput ana”, saya membalas salam.
Mereka berdua adalah pelajar perubatan di National University of Ireland, Galway.
“Program ceramahnya start pukul berapa ya?”, saya bertanya.
“Rasanya lepas Isyak, Ustaz. Mungkin dalam pukul 6″, Yurzi memberitahu.
galway.jpg
Saya menumpang di rumah Yurzi dan Nik Azuan semasa kunjungan pertama saya ke Galway, tempat tunang saya belajar. Rumah mereka berdua ini agak pelik kerana ia terletak di sebuah selekoh tajam yang menggerunkan. Terbayang-bayang saya adanya kereta terbabas. Naudhubillah.

“Ustaz, Kak Muna ada hantarkan lauk untuk makan tengah hari kita”, kata Yurzi memberitahu saya.
“Alhamdulillah”, saya tersenyum sendirian. Melihat ayam masak kicap pun boleh tersenyum simpul.
Malam itu saya menyampaikan ceramah di Clinical Science Building. Semasa berceramah, saya dapat melihat tunang saya berada jauh di belakang bersama rakan-rakan sepengajiannya.
Sesi ceramah berjalan lancar. Soal jawab juga agak memberangsangkan. Saya berkenalan dengan ramai sahabat baru. Pastinya, Galway agak berlainan dari Dublin dan Belfast kerana watak pelajarnya lebih menampakkan kesan Irish. Mungkin hasil tiupan Lautan Atlantik barangkali. Ceramah di dalam Bahasa Inggeris juga nampaknya lebih mendapat sambutan berbanding Bahasa Malaysia!
“Selama beberapa hari di Galway, saya hanya menegur tunang saya sekali semasa kami menghadiri jamuan makan yang diadakan oleh PPIMG.
jamuangalway.jpg
“Ukhti sihat?”, saya bertanya.
“Alhamdulillah. Macam biasa”, beliau menjawab.
Study semua ok ke? Sekarang ni buat attachment di mana pula?”, saya bertanya lagi.
Study berat sikit dah hujung-hujung ini. Sekarang ana attachment di Galway tapi Insya Allah bulan depan kena pergi ke Sligo”, tunang saya menjawab.
“Semoga semuanya berjalan lancar ya. Terima kasih lauk hari tu”, saya tersenyum.
“Tak ada apa-apa. Biasa sahaja”, tunang saya membalas.
Tidak banyak yang kami perkatakan. Sekadar bertanya khabar.


BARU TAHU
Selepas selesai jamuan, saya kembali semula ke rumah Yurzi dan Nik Azuan.
“Ustaz, maaf saya tanya sikit boleh tak?”, soal Yurzi kepada saya sebelum kami melelapkan mata. Jam baru pukul 9 malam tetapi sudah begitu larut rasanya.
“Silakan”, saya membetulkan duduk.
“Apa hubungan ustaz dengan Kak Muna ya?”, tanya Yurzi bersungguh-sungguh.
“Laaa… anta tak tahu ke? Patutlah pelik semacam aje. Kak Muna tu tunang ustaz”, saya sendiri pun terkejut dengan soalan Yurzi.
“Laaa… ye ke? Patutlah!”, kata Yurzi sambil menepuk dahi.
“Patutlah apa?”, saya bimbang juga dengan andaian beliau.
“Tak ada apa-apa. Patutlah Kak Muna bagi lauk dan suruh saya dan Nik Azuan jaga ustaz elok-elok”, jelas Yurzi.
“Oh, arahan tu sebab Kak Muna Ketua Muslimat, kot!”, saya ketawa.
Kami ketawa bersama. Saya meminta izin untuk ke bilik dan melelapkan mata kerana awal pagi esok saya akan kembali semula ke Belfast.


BATAS HUBUNGAN SEMASA BERTUNANG
Biar pun seorang lelaki dan seorang perempuan itu telah bertunang, hakikatnya mereka berdua tetap warga asing yang tidak diharuskan bergaul bebas atau -apa-apa hak yang diberikan hanya kepada pasangan lelaki dan perempuan yang telah berkahwin secara sah.

Saya bersyukur kerana jarak 8 jam perjalanan dengan bas itu bermanfaat untuk kami saling menjaga perhubungan. Sesekali menelefon untuk bertanya khabar dan berbincang tentang perancangan-perancangan… namun kami mencuba sedaya upaya untuk tidak berlebih-lebihan.
Ada panggilan telefon mungkin sekadar beberapa minit.
Ada panggilan telefon mungkin perlu hingga satu jam.
Tetapi bertanyalah kepada hati, jika perasaan memberitahu bahawa perbualan itu mendatangkan rasa resah dan bersalah, maka selesaikan perbincangan dengan cara baik agar tidak berlebih-lebihan dan mencetus dosa.

Selama pertunangan kami, saya dan dia sering bersama tetapi tidak berjumpa. Kami sering hadir ke program-program seminar, ceramah, perhimpunan musim sejuk dan sebagainya, tetapi tidak berjumpa. Apabila saya mengimamkan Qiamullail di Masjid Clonskeagh, saya tahu yang tunang saya turut bersama, dan itu sudah cukup lagi memadai.

RAHSIA PERTUNANGAN
Pertunangan juga tidaklah perlu dihebahkan.
Lucu juga saya apabila ditanya oleh Yurzi yang kehairanan melihat saya yang datang pertama kali ke Galway, tetapi mengenali seorang muslimah di situ.
Nabi SAW sendiri ada mengingatkan kepada kita:
“Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)
Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil.

Kerahsiaan pertunangan itu juga menjadikan kita terkawal dari berkelakuan seperti sudah bersuami isteri kerana hakikatnya seorang lelaki dan perempuan yang bertunang, masih asing dan sedang berada di medan ujian mengawal diri dan bijak mengatur komunikasi dengan pasangan yang bakal menemani hidup… selama-lamanya sampai mati.
Terima kasih kepada bekas tunang saya yang bersama-sama saling berusaha menjaga diri selama tempoh kami diikat dengan janji. Kepada bekas tunang saya yang kini telah pun menjadi isteri… dan dengan tiga cahaya mata kurniaan Allah, semoga Allah mengekalkan rumahtangga kita dalam redha dan bahagia, hingga ke akhir usia, ameen.

 ***********************************************************************
Petikan dari blog SaifulIslam

Best kan?? Selama rina tulis blog, rina tak pernah baca blog ni..agaknya sebab macam Islamic sangat...rina yang jahil ni malas nak baca..astaghfirullahalzim..

sehinggalah bila En Tunang belikan buku ini sebagai hantaran


baca baca, macam best pulak. rupanya buku ni adalah kompilasi kisah kisah yang pernah ditulis dalam blog SaifulIslam.

rina baru baca sikit. sampai part Pertunangan Dalam Kesederhanaan ni..

sedikit sebanyak memberi keinsafan buat rina..tapi rina ni, punya iman yang pasang surut..erghhh..geram dengan diri sendiri yang suka ikutkan nafsu dan perasaan..

ya Allah bantu lah hamba Mu ini..tolong ingatkan aku selalu.. T__T

Alhamdulillah..rina bersyukur kerana dipertemukan dengan En Tunang..sentiasa bersabar dan tidak putus asa dengan rina..

semoga kita berdua dapat perbaiki diri dari hari ke hari..dimasukkan dalam golongan orang yang beriman dan insyaAllah terpilih untuk ke syurga Allah..

Aminnn..

 Bertunang tak bermakna kami diberi lesen untuk keluar berdua...please remember that..rina...

4 footprints here! Thanks! (◕‿◕):

Syahidah 2/10/11 8:39 PM  

rasa nak senyum panjang2 je :)

insyaallah buku ni dapat buka minda dan mata hati. baca, baca! :P

insyaallah. semoga dalam redha Allah
aminnn ;)

tsumiki hajira 2/10/11 9:31 PM  

salam !!!
hehe, nice entry (T_T)

Anonymous,  4/10/11 1:33 AM  

Zaman sekarang bertunang ciap ade plamin bagai,ade tu siap buat video segala..bila terbace entry nih trase terpukul plak,yelah kite idam kan yang baik2 yang cantik2,majlis yang hebat2,tapi "PERTUNANGAN ITU SUATU KOMITMEN YANG TIADA KEPASTIAN"...
...Muhasabah dirilah kite yer... :)

Farhani Zainudin 31/10/11 11:44 PM  

Salam..prkongsian yg menarik,..thnks again yea...

Related Posts with Thumbnails

  © Rina Stories~* at Rinastories.Blogspot. All Rights Reserved. Powered by Blogger.

Goto Top